Thursday, January 5, 2012

Maut Terjatuh Mesin Proses Sawit@Taiping

TAIPING – Seorang lelaki maut selepas terjatuh ke dalam mesin pengisar tandan kelapa sawit di sebuah kilang di Kampung Padang Gajah, di sini semalam.Lebih malang, mayatnya terpaksa diangkat dan dimasukkan ke dalam beberapa beg plastik kerana keseluru-han badannya hancur.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusof Mohd Diah berkata, mangsa, Shuhaimi Mohamad Ariffin, 38, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada seluruh bahagian badan.
Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa dipercayai telah menutup suis mesin berkenaan untuk dicuci.
“Bagaimanapun, secara tiba-tiba mesin berkenaan bergerak dan menyebabkan mangsa tergelincir lalu jatuh ke dalam mesin tersebut.
“Hanya mangsa berada di dalam kilang ketika kejadian sebelum disedari rakan sekerja mangsa yang berada di luar kilang yang mendengar jeritannya,” katanya.
Yusof berkata, difahamkan seorang pekerja warga Bangladesh cuba memberhentikan mesin untuk menarik mangsa keluar tetapi gagal.Beliau berkata, mayat mangsa dikeluarkan pasukan jabatan bomba dan penyelamat yang bergegas ke tempat kejadian selepas menerima laporan.Difahamkan, anggota bomba mengambil masa satu jam untuk keluarkan mayat mangsa yang hancur dalam mesin berkenaan.

“Mayat kemudian dihantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat dan polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut,” katanya.
Sementara itu, abang mangsa, Azimi Mohamad Ariffin, 39, berkata, dia hanya mendapat tahu mengenai kejadian yang menimpa adiknya itu pagi tadi (semalam) selepas dimaklumkan penduduk kampung.
“Saya terus ke tempat kejadian untuk melihat keadaan adik, namun dia tidak dapat diselamatkan kerana mengalami kecederaan parah di seluruh badan,” katanya.

0 comments:

Post a Comment