Monday, August 8, 2011

Golongan dibenarkan berbuka puasa


SIAPAKAH orang yang dibenarkan berbuka pada Ramadhan dan adakah mereka wajib menggantikannya (qada)?

Antara mereka yang dibenarkan berbuka ialah:

  • Orang tua yang uzur. Mereka diwajibkan menggantikan puasa dengan membayar fidyah sebanyak satu cupak untuk satu hari (anggaran 675 gram = RM1.75) dan tidak wajib menggantikan puasanya (qada) mengikut pendapat Imam Syafie, Hanafi dan Maliki.

  • Orang sakit yang tiada harapan sembuh juga sama hukumnya sama seperti golongan uzur mengikut pendapat tiga imam tadi. Antara penyakit itu ialah: leukemia, kanser usus, Aids, meningitis (jangkitan selaput otak), pneumonia (jangkitan paru-paru), pyelonephritis (jangkitan saluran kencing) dan septisemia (pemusnahan tisu akibat bakteria di dalam saluran darah).

  • Orang yang bermusafir sejauh dua marhalah (88.7 km) yang membolehkannya sembahyang qasar. Syaratnya, ketika musafirnya sebelum terbit fajar. Haram berbuka bagi mereka yang bermusafir di siang hari mengikut pendapat Imam Syafie. Beliau juga berpendapat bagi yang bermusafir pada suatu waktu saja iaitu bersifat sementara (tidak kekal musafir). Mereka diwajibkan menggantikannya pada waktu lain. Manakala bagi yang sentiasa bermusafir tidak diharuskan berbuka kerana tiada ruang masa untuk mengqadanya.

  • Ibu hamil yang bimbang terhadap dirinya atau janin di dalam perutnya diharuskan berbuka mengikut pendapat Syafie dan Hanafi. Jika akan berlaku kemudaratan kepada salah satu dari keduanya maka jumhur ulama berpendapat ia wajib berbuka. Ini berdasarkan firman Allah SWT bermaksud: Janganlah kamu mencampakkan dirimu ke lembah kebinasaan (Al-Baqarah: 195). Begitupun ibu yang menyusukan anaknya. Maka diwajibkan menggantikan puasa serta membayar fidyah (satu cupak) jika dibimbangi terhadap janinnya saja. Jika bimbang terhadap keduanya maka diwajibkan qada saja tanpa diwajibkan membayar fidyah. Mengikut pendapat Imam Syafie, hukumnya sama juga bagi mereka yang mengambil upah menyusukan anak atau mendermakan-nya jika tiada orang lain yang tampil membantu.

  • Mereka yang bekerja berat sehingga terpaksa berbuka seperti pekerja di sektor pertanian, pembinaan dan lain-lain dengan syarat tiada pekerjaan lain untuknya meneruskan kehidupan. Bagaimanapun hendaklah dia berniat puasa pada malamnya dan jika dia tiada berdaya lagi bolehlah dia berbuka dan wajib menggantikan pada hari yang lain (qada).

0 comments:

Post a Comment